fbpx

Kemaraan solo Tuju, rencana baharu K-Clique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUJU

TIDAK kira sejauh mana penafian, kebanyakan setiap daripada kita mempunyai sisi gelap yang bercelaru. Kalau boleh, kita mahu kisah hitam dibenam dalam pengetahuan sendiri tanpa perlu dicanang atau diluah kepada dunia. Dengan cara sebegitu, ada kalanya kita rasa lebih selamat.

Buat pemilik nama lengkap, Muhammad Azree Shah Awang Zamri atau nama pentasnya, Tuju, perihal hidupnya dizahirkan melalui perkongsian satu karya muzik berjudul Jiwa Pusing. Katanya, idea mencipta lagu tersebut terzahir sekitar dua tahun lalu.

JALAN yang dilalui Tuju sebelum sampai ke destinasinya hari ini penuh berliku, namun pahit getir itulah yang membuatkan dia lebih menghargai kehidupan.

“Saya buat lagu ini tahun 2019. Sejujurnya, saya tidak nampak masa depan sendiri ketika itu. Jiwa saya pusing. Saya tak pasti sama ada mampu beli rumah sendiri, dapat bahagiakan ibu bapa atau pun tidak. Makin lama, mereka akan menua bukannya kekal muda.

“Saya pula anak sulung. Harapan orang terhadap saya sangat tinggi. Jika dilihat pada kanta mata dunia sekarang, lagu ini berkait rapat dengan semua orang terutama ketika mendepani fasa yang sangat mencabar disebabkan virus Covid-19.

“Apa yang berlaku sekarang, semua orang terkesan. Kalau golongan pelajar, mereka sedang berjuang dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membanggakan ibu bapa dan mendapatkan masa depan yang lebih cemerlang,” kata pelantun lagu Empati itu.

Jiwa Pusing

Mengulas lanjut, Tuju yang juga merupakan suami kepada penyanyi rap Loca B berkata, dia tidak menafikan ketika lagu tersebut disiapkan, dia berada dalam kegelapan dan tidak tahu apa sebenarnya yang ingin dikerjakan dalam hidup.

“Kalau boleh saya simpulkan, dahulu hidup macam tiada arah tuju. Saya belajar tak tinggi, hanya ada SPM sahaja. Mungkin kedengaran berlebihan, namun saya pernah berada dalam fasa setiap malam menangis di tepi tingkap bilik mengenang nasib.

LAGU Jiwa Pusing merupakan karya yang berkisar tentang kisah jatuh bangun Tuju mendepani kehidupan yang sangat mencabar.

“Saya pernah bekerja ambil upah cuci kereta. Tidak semua orang beri kerjasama ketika saya ajak buat lagu. Pendek kata, saya tak tahu bagaimana ingin bermula. Pertama kali datang ke kota Kuala Lumpur, saya tiada satu sen pun dalam akaun bank.

“Pun begitu, saya pegang kata-kata bapa bahawa tiada satu masalah yang tidak boleh diselesaikan dalam dunia ini kecuali mati. Saya pegang kata-katanya dari dahulu sampailah sekarang,” ujarnya penuh makna.

SEJAK berkahwin dengan penyanyi rap Loca B dan dikurniakan anak sulung bernama Bintang Aiko, Tuju berkata, hidupnya melalui fasa perubahan yang membawa ke arah positif.

Melihat perubahan yang berlaku dalam hidupnya, Tuju memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dengan segala limpahan rezeki yang beransur-ansur datang menyapa.

Katanya, dia selesa dengan kerjaya sebagai pemuzik selain peranan selaku suami dan bapa. Pada masa sama, dari segi kesihatan dan rezeki harta benda, semuanya tersusun indah buat dirinya ketika ini.

Solo, K-Clique

Sekitar setahun lalu, nama K-Clique menggelegak apabila pantas mencuri perhatian peminat muzik arus perdana. Pada ketika itu, lagu Mimpi (menampilkan Alif atau Alyph) mencipta fenomena tersendiri apabila menjadi siulan ramai terutamanya anak muda.

Tujuh bulan selepas menawan industri dengan Mimpi, kumpulan hip hop itu kemudian meluncurkan single berjudul Merais. Penerimaan daripada peminat tetap meriah, namun sedikit kurang berbanding Mimpi.


DI sebalik kejayaan yang ditempa bersama kumpulan K-Clique, Tuju yang pernah mendapat tempat ketiga dalam program The Masked Singer Malaysia juga semakin mara dengan aktiviti nyanyian solo.

“K-Clique pernah berada pada fasa lagu kami sangat dikenali. Itu semua berlaku ketika Mimpi mula menerobos ruang muzik arus perdana. Muzik video dalam YouTube mendapat tontonan tinggi sehingga tercalon dalam MTV Asia Awards. Hidup K-Clique berputar macam rollercoaster!

“Malangnya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak rencana K-Clique terbantut. Apa yang kami boleh janjikan, sebuah album penuh akan menemui peminat pada tahun ini,” tuturnya.

Mengulas tentang setiap anggota K-Clique yang kian mara dengan muzik solo, Tuju berkata, apapun terjadi, persaudaraan antara mereka akan terus kuat. Meskipun pada kanta umum, mereka seperti sudah membawa haluan masing-masing.

“K-Clique tetap K-Clique, tetapi setiap anggota bebas untuk buat muzik solo. Jika sampai waktunya, kami akan kongsikan hasil kerja sebagai sebuah kumpulan,” jelasnya.

Panas baran, mesra media

Diajak berbicara tentang dirinya yang dikatakan panas baran dan tidak mesra media, bapa kepada seorang cahaya mata bernama Bintang Aiko itu terlebih dahulu memohon maaf andai ada sesiapa pernah terluka dengan apa yang terlahir daripada tindakannya.

Perubahan status diri daripada seorang bujang kepada lelaki berkahwin dan kini menyandang gelaran bapa banyak mengubah dirinya.

PERNAH dilabel panas baran, Tuju secara terbuka memohon maaf andainya kelakuannya dahulu pernah menyakiti hati sesiapa.

“Kalau pernah sesiapa terasa hati, saya mohon maaf. Tentang panas baran, saya rasa semua orang ada (panas baran) dalam diri mereka.

“Saya juga manusia biasa. Cuma sekarang saya rasa sudah semakin okey. Maklumlah, dahulu darah muda dan masih mentah. Banyak perkara yang saya sedang pelajari.

“Tentang isu tidak mesra media, dahulu saya tiada syarikat pengurusan. Mungkin sebab itulah agak sukar untuk segelintir media mendekati saya.

“Sekarang saya bernaung bawah Black Hat Cat Records. Rencana muzik saya lebih terancang. Insya-Allah, kalau wartawan mahu berurusan, tiada masalah untuk saya berikan kerjasama,” kata Tuju.

Jiwa Pusing ciptaan Mingaling dan Tuju kini boleh didengari menerusi semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music sejak 26 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI