MANCHESTER – Seperti diramal, Manchester City terus melebarkan penguasaan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan 13 mata selepas menewaskan West Ham United 2-1 di Stadium Etihad kelmarin.
Pengurus City, Pep Guardiola merupakan individu paling gembira selepas menyaksikan anak-anak buahnya berjaya memahat rekod baharu dengan meraih kemenangan ke-20 berturut-turut dalam semua kejohanan sejak 19 Disember lalu.
Lebih menarik, The Citizens juga masih belum tewas dalam 27 perlawanan berturut-turut meliputi semua pertandingan sejak kalah 0-2 kepada Tottenham Hotspur untuk aksi EPL pada 21 November lalu.
“Bukan mudah untuk mencatat 20 kemenangan berturut-turut dengan mengharungi pelbagai cabaran seperti pandemik Covid-19, krisis kecederaan selain terpaksa bermain satu perlawanan dalam tempoh tiga hari.
“Saya boleh anggap ini sebagai antara pencapaian terhebat pernah City lakukan. Ia juga membuktikan pemain mempunyai kekuatan mental yang tinggi untuk terus mencatat kemenangan demi kemenangan.
“Bagaimanapun, ia masih tidak menjamin apa-apa kerana kami masih belum menang gelaran EPL. Cumanya, saya gembira kami konsisten walaupun diberikan tentangan cukup sengit daripada West Ham,” katanya.
Kelebihan utama City musim ini adalah rata-rata pemain sama ada penyerang, tengah atau pertahanan mampu meledak gol.
Ia terbukti apabila dua gol ke atas West Ham awal pagi semalam diperoleh menerusi dua bek tengah, Ruben Dias dan John Stones.
Bukan itu sahaja, penjaga gol City, Ederson juga mampu mencetak nama sebagai penjaring gol musim ini jika diberikan peluang mengambil sepakan penalti.
Lebih menarik, Ederson pernah mencipta umpanan jaringan buat Ilkay Gundogan sewaktu City menang 3-0 ke atas Spurs pada 14 Februari lalu. – AGENSI