VERONA, Itali – Ketua jurulatih Juventus, Andrea Pirlo mengkritik prestasi barisan pemainnya kerana mensia-siakan kelebihan satu gol dan membenarkan Hellas Verona meraih keputusan seri 1-1 pada aksi Serie A di Stadio Marcantonio Bentegodi awal pagi semalam.
Ia adalah satu keputusan mengecewakan buat The Old Lady yang menguasai sebahagian besar perlawanan dan memiliki 15 percubaan tetapi sekadar menjaringkan satu gol melalui Cristiano Ronaldo pada minit ke-49.
Malangnya, penjaga gol Juventus, Wojciech Szczesny terpaksa bekerja keras dalam babak kedua menafikan beberapa percubaan berbahaya Verona yang akhirnya berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-77 menerusi Antonin Barak.
“Ini adalah salah satu perlawanan yang kami sepatutnya berjaya meraih tiga mata. Apa yang lebih mengecewakan saya apabila kami tidak mempertahankan kelebihan satu jaringan.
“Ada beberapa aspek kecil yang rata-rata pemain muda tidak memahaminya dengan baik sekali gus membawa perubahan besar dalam perlawanan ini.
“Saya sudah beritahu Cristiano (Ronaldo) dan Alex Sandro mengenai perkara ini tetapi ia tetap juga berlaku. Hasilnya kami hilang dua mata yang cukup berharga,” kata Pirlo.
Sementara itu, pemain sayap pinjaman Juventus daripada Fiorentina, Federico Chiesa percaya mereka masih mampu memburu gelaran Scudetto musim ini meskipun kini menduduki tangga ketiga dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan.
“Kami sudah belajar daripada kesilapan hari ini (awal pagi semalam). Saya percaya masih ada harapan buat Juventus yang akan berjuang habis-habisan merebut kejuaraan musim ini,” jelasnya. – AGENSI