fbpx

Jangan biarkan pelampau antivaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

SATU kisah benar, seorang pemuda yang tidak percayakan bahaya koronavirus dan pastinya juga tidak percayakan kepentingan antivirus hadir makan malam ke rumah ibu bapanya dalam keadaan dia telah mempunyai simptom positif Covid-19.

Akibat perbuatannya itu, kedua-dua ibu bapa pemuda tersebut yang merupakan pesara dan warga emas turut positif sehingga terpaksa dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Turut dijangkiti dua adik-beradik lelaki itu yang menyebabkan mereka dikuarantin selama dua minggu di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia di Serdang, Selangor.

Dalam kes seperti ini, kita berasa seakan tidak percaya bahawa ada anak yang langsung tidak mempedulikan risiko nyawa ibu bapa dan adik-beradik sendiri demi ego bahawa kononnya dia lebih mengetahui mengenai wabak Covid-19.

Golongan ini biasanya beranggapan Covid-19 cuma menyebabkan selesema biasa atau demam yang akan sembuh sendiri. Mereka tidak percayakan kepentingan penjarakan fizikal, keperluan menggunakan pensanitasi tangan dan memakai pelitup muka.

Oleh kerana pada masa kini program vaksinasi telah berjalan, golongan tersebut pula dilihat semakin aktif berkempen menyebarkan dakyah bagi memburukkan usaha membendung pandemik daripada terus merebak.

Bagi mereka, Covid-19 dan vaksin adalah cuma rekaan serta agenda pihak tertentu dengan mengaitkan pelbagai cerita, peristiwa dan teori selain membawa dalil-dalil mereka sendiri yang kadangkala melucukan.

Sesetengah mereka beranggapan mikroorganisma Covid-19 adalah ciptaan pihak tertentu untuk mengurangkan jumlah penduduk planet Bumi, manakala ciptaan vaksin pula bagi mengaut keuntungan dan menyebabkan kebergantungan kepada pihak pengeluar vaksin.

Mungkin jumlah golongan tersebut tidak banyak tetapi kita bimbang jika dibiarkan, mereka akan mempengaruhi lebih ramai orang. Hal ini memandangkan sebilangan mereka terdiri daripada personaliti yang mempunyai ramai pengikut di laman-laman sosial.

Lebih membimbangkan ada dalam kalangan mereka membawa status ‘lebai’ seolah-olah merupakan bijak pandai agama dengan penampilan berserban dan berjubah serta sekali-sekali memetik ayat al-Quran dan hadis dalam hantaran-hantaran di media sosial.

Penulis dimaklumkan telah berlaku ada sebilangan ibu bapa telah menolak untuk divaksinkan apabila mendengar hujah dan pandangan golongan antivaksin ini. Mereka sebelum ini memang pengikut setia dan mudah percaya dengan apa yang diperkatakan.

Sehubungan itu, adalah penting kepada pihak berkuasa untuk bertindak cepat bagi membendung golongan tersebut daripada menjadi pelampau dan terus berleluasa menyebarkan dakyah. Mereka ibarat api di dalam sekam.

Kita tidak bimbang jika mereka ini bakal menerima padah daripada wabak Covid-19 kerana enggan menerima suntikan vaksin tetapi kita risau mereka akan menjadi kluster wabak kepada ahli keluarga dan komuniti lain.

Oleh itu, sewajarnya pihak berkuasa tidak menunggu sehingga keadaan menjadi semakin sukar dikawal. Ibarat kanser, jika di peringkat awal mungkin boleh disembuhkan.

Jika sudah merebak, pastinya tiada lagi ubat dan penawar untuk dipulihkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI