LONDON – Pengurus Aston Villa, Dean Smith teruja melihat aksi pasukannya yang mempamerkan rentak cemerlang menewaskan Leeds United 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Elland Road awal pagi semalam.
Pemain sayap sensasi, Anwar El Ghazi muncul wira apabila meledak gol tunggal permainan membolehkan Villa merekodkan 13 perlawanan tanpa bolos daripada 24 aksi EPL setakat ini.
Smith mengakui, barisan pemainnya telah berjuang habis-habisan untuk mengutip tiga mata penuh, namun pujian juga wajar diberikan kepada Leeds kendalian Marcelo Bielsa yang memberikan tentangan cukup sengit.
“Elland Road adalah venue yang cukup sukar untuk pasukan pelawat mengutip mata penuh. Semua orang tahu kualiti pasukan seperti Leeds di bawah kendalian Bielsa yang sememangnya cukup berbahaya jika diberikan banyak peluang kepada mereka.
“Kejayaan meraih kemenangan ini adalah satu keputusan yang sangat memuaskan. Benteng pertahanan kami kebal tanpa bolos dan langsung tidak menyukarkan penjaga gol (Emiliano Martinez) dalam perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu, Smith mendedahkan, ketua pasukan, Jack Grealish yang terpaksa diketepikan untuk aksi kali ini, akan membuat kemunculan semula ketika menentang Sheffield United awal pagi Jumaat nanti.
“Grealish masih belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan dialami minggu lalu. Saya tidak mahu mengambil sebarang risiko dan jika bernasib baik, dia akan diturunkan bertemu Sheffield selepas ini,” katanya. – AGENSI