BERLIN – Seorang pengacara radio di Jerman membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kumpulan muzik terkenal Korea Selatan, BTS kerana menyamakan mereka dengan wabak Covid-19.
Menurut laporan Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam, kenyataan itu dikeluarkan oleh Matthias Matuschik ketika mengacarakan sebuah program secara langsung di Stesen Radio Bayern 3, baru- baru ini.
Matuschik mengatakan dia tidak berniat untuk mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan atau perkauman sambil menambah bahawa dakwaan gurauannya seolah-olah mengaitkan BTS dengan pandemik Covid-19 adalah tidak benar.
Insiden ini berlaku di saat dunia menyaksikan peningkatan tinggi berkenaan isu sentimen anti-Asia dan serangan perkauman sejak wabak maut itu bermula pada akhir 2019.
Bayern 3 menerima pelbagai kritikan dan serangan komen daripada peminat BTS di media sosial yang dikenali sebagai fanatik serta sangat melindungi artis kesayangan mereka.
Baru-baru ini, Matuschik menggambarkan BTS sebagai tergolong dalam kelompok virus yang memerlukan vaksin dalam masa terdekat.
“Kegilaan orang terhadap BTS virus merebak seperti virus jahat jadi semoga ada yang berjaya menemui vaksin untuk penularan ini dalam masa terdekat,” katanya.
Apabila menyedari ketelanjuran kata-katanya, Matuschik cuba mempertahankan dirinya dengan menafikan dia bersikap prejudis kepada penduduk negara lain atau xenofobia.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Bayern 3, kelmarin, pihak stesen radio memberitahu kenyataan yang dikeluarkan oleh pengacaranya hanyalah karakter rancangan yang dibawa pada ketika itu dan sekadar menyampaikan pendapat dengan jelas, terbuka dan tidak berselindung.
“Bagaimanapun, penyampai kami ternyata sudah melampaui batas dengan pemilihan kata-katanya dan tidak berniat melukakan hati mana-mana peminat BTS, ” tulis kenyataan itu. – Agensi