YANGON – Pasukan keselamatan Myanmar menembak mati sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan hari ini dalam tindakan paling berdarah setakat ini bagi meredakan penentangan terhadap rampasan kuasa empat minggu lalu.
Junta Myanmar masih bergelut menangani bantahan jalanan yang menuntut pihaknya menyerahkan kuasa dan membebaskan pemimpin awam, Aung Sang Suu Kyi. Pemimpin demokrasi itu ditahan bersama sekutu-sekutu kanannya awal bulan lalu.
Polis dan tentera sudah melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan meriam air terhadap penunjuk perasaan sejak beberapa minggu lalu dalam usaha menamatkan bantahan awam, manakala peluru hidup turut digunakan dalam kes terpencil.
Penunjuk perasaan kembali berhimpun di beberapa kawasan di Myanmar pagi tadi selepas seruan secara online meminta mereka sekali lagi membanjiri jalan-jalan raya.
Tiga lelaki terbunuh dan sekurang-kurangnya 20 yang lain cedera apabila pasukan keselamatan menyerbu sebuah perhimpunan di Dawei, kata seorang sukarelawan perubatan dan media di bandar itu.
Pekerja penyelamat, Pyae Zaw Hein berkata, ketiga-tiga penunjuk perasaan yang mati itu terkena peluru hidup manakala mangsa cedera ditembak dengan peluru getah.
“Lebih ramai mangsa yang cedera tiba,” katanya.
Dua remaja juga ditembak mati di bandar Bago yang terletak dalam jarak dua jam pemanduan dari Yangon.
Mangsa keenam yang berumur 23 tahun maut ditembak pasukan keselamatan di timur Yangon. – AFP