GEORGE TOWN – Kedai gunting rambut hari ini menjadi tumpuan pelajar sekolah rendah apabila pengusahanya tidak menang tangan menerima kehadiran pelanggan sejak pagi tadi sehingga malam ini.
Rata-rata pengusaha mengatakan bilangan pelanggan yang datang ke premis termasuk membuat tempahan pada hari ini lebih ramai berbanding hari Isnin hingga semalam.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Bayan Baru di sini mendapati masih terdapat pelanggan kanak-kanak mendapatkan khidmat memotong rambut biarpun berbaki setengah jam sebelum kedai ditutup pada pukul 10 malam.
Pengusaha Mat Salleh Barber, Ahmad Affiq Mohd., 31, berkata, sebanyak 65 peratus pelanggannya hari ini terdiri dalam kalangan pelajar sekolah rendah berbanding pelanggan dewasa.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Anita Ahmad, 39, berkata, dia memilih untuk membawa anaknya mendapatkan khidmat gunting rambut pada waktu malam bagi mengelak beratur panjang pada waktu siang. – K! ONLINE