Sejak dunia dilanda penularan pandemik Covid-19, kehidupan manusia mengalami banyak perubahan terutamanya dari segi pekerjaan, pembelajaran, pergaulan dan pergerakan.
Bagi gadis manis bernama Nur Syafika Najihah Yahaya atau lebih mesra disapa Ika, perubahan itu terpaksa ditempuh sama ada suka atau tidak bagi meneruskan kehidupan bersama Covid-19 dalam suasana norma baharu.
Kekal positif dan berjiwa kental, anak jati negeri Kedah yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini mula melatih dirinya agar tidak memilih pekerjaan setelah tamat pengajian.
Ikuti temu bual Kosmo! Ahad bersama gadis yang petah berbicara ini bagi mengetahui persediaannya dalam menghadapi dunia baharu terutama di alam pekerjaan yang lebih mencabar.
Kosmo Ahad!: Apakah perancangan pada masa hadapan?
NUR SYAFIKA NAJIHAH: Berbekalkan segulung Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani nanti, saya bercita-cita menjadi seorang pendidik yang dapat melahirkan anak bangsa berjaya pada suatu hari nanti.
Mengapa Ika memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang itu?
Saya seorang yang minat bersukan. Di UPM, saya belajar tentang pelbagai jenis sukan di dunia selain ilmu fisiologi, pemakanan sihat dan pelbagai lagi berkaitan gaya hidup sihat.
Apakah pendapat Ika mengenai situasi Covid-19 sekarang kepada penuntut universiti?
Covid-19 mengubah hidup kami 100 peratus terutama sesi pembelajaran yang kini dilakukan secara online sahaja. Ia telah mengehadkan interaksi antara penuntut dan pensyarah.
Apakah perasaan Ika apabila Kementerian Pengajian Tinggi kini membenarkan penuntut untuk pulang semula ke universiti?
Sangat teruja dan tidak sabar untuk kembali bertemu rakan-rakan serta pensyarah. Hubungan saya dengan rakan-rakan sangat rapat sehingga kami sering meluangkan masa bersama untuk berpiknik atau barbeku pada hujung minggu.
Sebagai pelajar tahun akhir di universiti, apakah yang menjadi kebimbangan?
Sudah tentu saya memikirkan tentang peluang pekerjaan yang kini lebih mencabar. Namun, saya tidak akan cepat mengalah jika rezeki itu tiada atau lambat datang. Saya kini berusaha mencari beberapa pilihan untuk dijadikan sandaran jika perancangan asal menemui jalan buntu.
Boleh ceritakan sedikit mengenai pilihan yang dimaksudkan itu?
Saya kerap menyertai forum-forum kerjaya di internet bagi mendapatkan pandangan mereka yang berada dalam industri. Rata-rata mereka menasihati kami agar membesarkan skop kerjaya. Susulan itu, saya kini menjual produk kecantikan dan alhamdulillah, produk ‘lipmatte’ mula mendapat sambutan.’ Mereka yang berminat boleh mendapatkannya di akaun Instagram @delimabeaute.hq dan @_syafikayahaya.
Bagaimana Ika mendapat idea untuk melibatkan diri dalam dunia perniagaan?
Saya berasal daripada keluarga yang menjalankan perniagaan dan idea untuk berniaga itu hadir ketika saya mula membuka minda tentang peluang yang perlu dicari dan bukannya hanya menunggu. Jadi pada Ogos tahun lalu, saya mula menimba ilmu dalam bidang ini dan membuat keputusan untuk berniaga.
Bagaimana pula dengan cita-cita untuk menjadi pendidik?
Itu masih menjadi cita-cita saya, namun dalam situasi yang mencabar ini, saya harus berpijak di bumi nyata dan bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan. Saya mahu menjadi lebih fleksibel dan meluaskan peluang kerjaya.
Apakah pesanan kepada penuntut universiti lain yang risau dengan peluang pekerjaan yang semakin terhad?
Jangan cepat menyerah kalah dan berputus asa, sebaliknya cuba kekal positif dan kenal pasti kekuatan kita dengan mencuba perkara baharu yang mungkin boleh dijadikan kerjaya walaupun bukan bidang kita.