fbpx

Beli yang perlu sahaja, bimbang sekolah ditutup lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSLIZA Sidik memilih membeli barangan dan kelengkapan sekolah pada saat akhir hari ini bagi mengelak berlaku kesesakan pekarangan kedai pakaian sekolah. NOOR HASLIZA NUSI

GEORGE TOWN – Ramai dalam kalangan ibu bapa memilih membuat persiapan persekolahan anak mereka pada hari terakhir hari ini sebelum sesi persekolahan pertama bermula esok berikutan bimbang dengan penularan pandemik Covid-19.

Rata-rata yang ditemui Kosmo! di sini memberitahu yang mereka sanggup datang sekitar pukul 2 petang, dalam keadaan cuaca panas dengan alasan bagi mengelak daripada kesesakan yang berlaku di luar pekarangan kedai pakaian sekolah.

Bukan setakat itu, majoriti mereka juga turut menyatakan kebimbangan berhubung jangkitan wabak tersebut yang sehingga kini masih belum berakhir.

Seorang penjawat awam, Rosliza Sidik, 46, dia memilih untuk membeli pada saat akhir sebelum sesi persekolahan bermula esok disebabkan tidak mahu berada dalam kelompok pelanggan yang ramai.

“Kali ini, saya hanya membeli barangan dan kelengkapan sekolah yang berpatutan sahaja untuk anak saya yang berusia 12 tahun.

“Memang sesi persekolahannya akan bermula pada minggu depan, tetapi kedatangan saya hari ini disebabkan tidak mahu bersesak dan berhimpit-himpit dengan pelanggan-pelanggan lain,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Nor Nasuha Ahmad, 38, memberitahu, dia juga mengambil pendekatan untuk membeli barangan kelengkapan sekolah dua anaknya sehari sebelum sesi persekolahan bermula dengan alasan tersendiri.

“Kali ini, saya juga membeli barangan yang perlu sahaja seperti seluar sekolah disebabkan saiz anak yang semakin membesar dan kasut.

“Saya terpaksa menghadkan pembelian barangan dan pakaian sekolah disebabkan bimbang berlaku lagi penutupan sekolah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pengusaha kedai pakaian sekolah, Teh Jing Hong, berkata, berlaku peningkatan kedatangan pelanggan sehingga empat kali ganda sejak semalam berbanding hari biasa.

Jelasnya, bilangan pelanggan yang ramai memberi peluang perniagaan borong dan runcit yang diusahakannya itu sejak 10 tahun lalu meningkat sehingga 100 peratus setelah terjejas teruk ekoran PKP 2.0 sejak 13 Januari lalu.

“Sejak semalam, kami memang tidak menang tangan menerima kehadiran pelanggan termasuk yang terpaksa beratur lama menunggu giliran di luar kedai kira-kira sembilan meter.

“Ada di antara mereka pulang begitu sahaja kerana tidak tidak mahu berada dalam kumpulan pelanggan yang ramai, dalam usaha mengelak penularan wabak Covid-18,” ujarnya ketika ditemui di kedainya di Bayan Baru di sini tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI