PEMAIN beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia enggan berasa terlalu selesa menjelang kejohanan badminton Terbuka Switzerland yang akan bermula 2 hingga 7 Mac depan.
Aaron yang bergandingan dengan Soh Wooi Yik akan turun ke kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 itu sebagai pilihan utama dalam misi memburu gelaran sulung tahun ini.
Bagaimanapun, Aaron menegaskan, status sebagai pilihan langsung tidak memberi sebarang jaminan kepada mereka memandangkan masih ada beberapa beregu terbaik turut menyertai kejohanan itu.
“Kami sudah lakukan persiapan terbaik bagi menghadapi Terbuka Switzerland kerana ia satu-satunya kejohanan yang akan kami sertai di Eropah nanti.
“Bagi saya, status sebagai pilihan itu hanyalah di atas kertas. Prestasi di atas gelanggang yang akan menjadi penentu pada kejohanan itu nanti,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Walaupun kejohanan itu tidak disertai beregu-beregu terbaik dunia, namun dia percaya masih ada ramai pemain lain yang mampu meleburkan hasrat mereka.
Bekas rakan sepasukan, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta juara remaja dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dijangka mampu menjadi pencabar utama pada kejohanan tersebut.
“Walaupun ramai pemain-pemain terbaik tidak sertai Terbuka Switzerland, namun kita masih ada beregu lain seperti V Shem-Wee Kiong serta juara remaja dunia dari Indonesia.
“Saya yakin kejohanan ini masih mampu menjanjikan aksi sengit berdasarkan senarai pemain yang ada. Kami akan cuba tampilkan aksi terbaik di sana nanti,” ujarnya.