PETALING JAYA – Usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat kekal tenang di laman sosial Instagramnya meskipun diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak dua hari lalu.
Dalam satu hantaran di laman Instagramnya hari ini, Sajat dilihat giat mempromosi produknya di sebuah salon miliknya di Damansara dekat sini.
Pemerhatian Kosmo! Online di laman sosialnya itu, Sajat turut memuat naik Instastorynya seolah-oleh memerli pihak berkuasa dengan menulis ‘Sila sambung uols!!! Polis N 3, 0ne to jaga’.
Akhbar Kosmo! hari ini menyiarkan laporan usahawan itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam setelah didapati bersembunyi bagi mengelakkan dirinya dicekup JAIS.
Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan Agama Islam dipandang hina dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat.
Dalam pada itu, Sajat ketika ditanya oleh salah seorang pengikutnya mengenai tempat dia bersembunyi, dia membalasnya di ruangan komen berbunyi;
“Ya kah? Tak tekan loceng rumah pun.. Kuat propa,” tulisnya.
Seorang lagi pengikutnya menulis, ‘tangkap Sajat’ dan dibalas oleh usahawan berbunyi “cepat-cepat jangan lambat-lambat”.. -K! ONLINE