SHAH ALAM – Usahawan kosmetik sensasi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah didapati bersembunyi bagi mengelakkan dirinya dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Ini berikutan setakat pukul 9 malam tadi pihak penguat kuasa masih gagal mengesan keberadaan Sajat, 36, yang ‘dikehendaki’ selepas gagal hadir dalam sebutan semula kes berpakaian wanita sehingga menghina Agama Islam.
Menurut sumber, Sajat dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan kepadanya oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.
“Dia hanya mengemukakan surat MC (sijil cuti sakit) selama dua hari yang diperoleh daripada hospital kerajaan kepada Peguam Syarienya, Zuri Zabuddin Budiman menerusi aplikasi WhatApps.
“Sajat kemudiannya terus menghilangkan diri sehingga kini,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan JAIS sedang memburu Sajat selepas waran tangkap kepadanya dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada Selasa lalu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memaklumkan arahan telah dikeluarkan kepada penguat kuasa JAIS bagi mengesan usahawan kontroversi berkenaan.
Menurut sumber, waran itu membolehkan penangkapan dilakukan seterusnya membawa Sajat ke mahkamah untuk sebutan semula kes yang ditetapkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii pada 1 Jun depan.
Ketika ditanya sama ada dia boleh dipenjara sehingga menunggu tarikh sebutan itu, sumber menegaskan ia bergantung kepada pihak pendakwaan.
“Atas permohonan pendakwa boleh dipenjara kalau ada isu-isu yang munasabah,” ujarnya.
Sementara itu, hasil tinjauan Kosmo! terhadap laman Instagram Nur Sajat mendapati dia sempat memuat naik posting terbaharu kira-kira pukul 1.20 tengah hari semalam.
Beberapa netizen kemudiannya meninggalkan komen-komen menakutkan berhubung waran tangkap kepadanya termasuk meminta Sajat bertindak berani dengan menyerah diri.
“Bang Jad, JAIS cari itu. Pergi serahkan diri, jadi gentlemen sikit,” kata salah seorang netizen.
Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah di hadapan Mohammad Khalid atas pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan Agama Islam dipandang hina dalam majlis bacaan Yassin dan solat hajat.
Kesalahan itu dilakukan di Nursajat Beauticion, Seksyen 16 di sini pada pukul 7.30 malam, 23 Februari lalu.
Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 10 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor ) 1995.
Nur Sajat kemudiannya dibenarkan ikat jamin RM3,000.