PERAK FC akhirnya memuktamadkan logo baharu kelab itu selepas para penyokong memilih logo berkenaan dalam satu sesi pemilihan yang diadakan secara dalam talian.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, pihaknya menerima lebih 35,000 undi dalam talian selepas sejumlah 10 logo disenarai pendek oleh panel profesional.
Katanya, walaupun tempoh yang diberikan untuk mencipta logo hanya seminggu, pihaknya menerima lebih 1,500 penyertaan.
“Selepas undian berakhir, logo ini meraih hampir 10,000 undi atau bersamaan 28.4 peratus berbanding logo lain.
“Apa paling melegakan saya ialah maklum balas cukup baik daripada para peminat,” katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naizali.
Tambah Khairul Shahril, logo itu juga telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan baginda menzahirkan rasa gembira dengan pemilihan logo yang dibuat rakyat.
Katanya, selepas diperkenankan baginda, barulah pihaknya membuat urusan berkaitan logo tersebut termasuk mendaftarnya dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia.
Pereka logo berkenaan yang merupakan anak jati Perak, Hafiz Ismail berjaya mendapat undian tertinggi sekali gus memenangi hadiah utama RM3,000 dan barangan rasmi Perak FC manakala sembilan pereka logo lain menerima hadiah sagu hati.
Khairul Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak itu berharap peminat akan terus memberi sokongan kepada Perak FC.
Sebelum ini, isu logo Perak FC dikritik hebat oleh penyokong dan ia mendapat perhatian Sultan Nazrin sehingga baginda menasihatkan agar satu pertandingan mencipta logo diadakan.