Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR
LEXUS UX adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) paling kecil di dalam barisan model jenama itu di Malaysia.
Saiznya sedikit lebih kecil jika kita bandingkan dengan model NX. UX misalnya mempunyai kepanjangan tubuh 4,495 milimeter (mm) manakala NX 4,640mm.
Lexus Malaysia menawarkan model UX pada harga RM236,443.50 (Urban), RM274,998.50 (Luxury) dan RM290,335 (F Sport).
Pengecualian cukai jualan yang dikeluarkan oleh kerajaan sejak tahun lalu ke atas kereta import telah memberikan penjimatan yang besar kepada pembeli kereta premium.
Sebelum ini juga Lexus Malaysia turut menawarkan tempoh pengecualian cukai lebih sebulan berbanding yang ditetapkan kerajaan iaitu pada 31 Disember 2020 (sebelum kerajaan melanjutkan tempoh berkenaan).
Pesaing kepada model ini ialah Mercedes Benz GLA dan Volvo XC40. Lexus UX menawarkan kadar harga jualan yang paling rendah berbanding yang lain.
Daripada spesifikasi enjin juga Lexus UX nampak kalah kerana menggunakan enjin aspirasi normal berbanding yang lain menggunakan suntikan turbo.
Perbandingan di atas kertas memang jelas nampak model ini ibarat tercicir atau nampak tidak bermaya dari segi prestasi.
Tetapi, penulis nasihatkan, kalau anda ada bajet dan berhajat untuk membeli model-model yang saya sebutkan tadi, anda wajib pandu uji Lexus UX dahulu sebelum membayar wang deposit sebagai tempahan.
Pandu uji
Baru-baru ini, Lexus Malaysia telah menawarkan kepada penulis untuk memandu uji UX varian Luxury selama beberapa hari.
Penulis tidak pernah pandu atau masuk ke ruang kabin UX sebelum ini sejak dilancarkan, jadi penulis tidak meletakkan harapan yang tinggi pada model ini.
Seperti biasa, beberapa hari sebelum sesi pandu uji penulis ada membuat bacaan untuk mendapatkan ilmu berkenaan model ini.
Sebaik sampai di Lexus Mutiara Damansara, Selangor untuk mengambil UX, penulis agak kagum dan minat dengan rekaan hadapan berjeriji spindle yang menjadi trademark model Lexus.
Bahagian sisi pula, jika kita tengok garisan badannya seperti tidak sekata namun penulis rasa itu bukan masalah kerana cita rasa setiap orang berbeza. Bagi penulis masih nampak cantik!
Penggunaan rim bersaiz 18 inci dengan rekaan menarik digandingkan dengan tayar 225/50 memberikan pengendalian terbaik.
Pergi ke bahagian belakang, lampu belakang menarik perhatian penulis kerana hadir dengan sirip udara. Selain itu garisan yang menyambungkan lampu kanan dan kiri menjelaskan karakter premium SUV ini.
Pengalaman pemanduan Lexus UX ini agak mengagumkan kerana model ini menggunakan platform Lexus GA-C yang termaju. Pusat graviti yang rendah memberikan perasaan pengendalian yang baik.
Menggunakan enjin 2.0 liter dengan kod M20A-FKS dan transmisi 10 kelajuan automatik CVT. Penulis rasa ini CVT yang sedap untuk dipandu.
Gabungan dua nadi besar ini memberikan kuasa maksimum 169hp pada 6,600rpm dan tork maksimum 205Nm pada 4,800rpm.
Masuk ke ruang kabin, walaupun digabungkan dengan tiga warna seperti hitam, biru dan krim cerah, penulis masih rasa mewah kerana menggunakan bahan berkualiti tinggi.
Jam analog klasik di sebelah skrin paparan yang dipasang di papan pemuka tengah atas, memberikan daya tarikan sekali gus memberitahu kita berada dalam model Lexus.
Varian Luxury juga hadir dengan kemasan tempat duduk kulit eksklusif yang dipanggil sashiko merupakan teknik jahitan Jepun yang digunakan dalam membuat seragam seni mempertahankan diri judo dan kendo.
UX 200 Luxury adalah contoh yang baik dari aspek ciri keselamatan canggih serta penyempurnaan dan keselesaan mewah yang terkenal dengan Lexus.
Ciri-ciri keselamatan pada model ini adalah seperti lapan beg udara dan sistem bantuan pemandu berteknologi tinggi yang memungkinkan pemberhentian automatik bagi mengelakkan perlanggaran atau mengurangkan hentaman.
Sterengnya juga dibantu dengan sistem yang menjaga kenderaan agar berada di dalam lorong selain menjaga jarak yang telah ditetapkan dari kereta di hadapan.
Selain itu, varian Luxury turut hadir dengan pengelap cermin serta pengesan hujan, cermin sisi lipat automatik, rel atap, kawalan tiang stereng elektrik, pintu but belakang elektrik dengan fungsi bebas tangan, skrin paparan 10.3 inci yang lebih besar berbanding varian Urban 7-inci selain dilengkapi fungsi tiga memori untuk tempat duduk pemandu.
Sistem Lexus Premium Audio pula dipasang dengan lapan pembesar suara termasuk subwoofer.
Apa yang penting, penulis rasa fungsi Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Panoramic View Monitor sangat membantu. RCTA dan Panoramic View Monitor sangat berguna untuk mengelakkan kemalangan yang tidak diingini ketika bergerak ke dalam atau keluar dari tempat letak kereta.