fbpx

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra akan dinaik taraf April ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini akan dinaik taraf dan diperbesarkan dengan kos sebanyak RM440 juta bermula April ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, mengikut perancangan, projek tersebut akan siap pada pertengahan 2024 dan mampu menampung seramai 4 juta penumpang dalam tempoh setahun.

Katanya, sehubungan dengan itu, kerajaan telah bersetuju untuk melantik WCT Berhad sebagai kontraktor dan syarikat itu dijangka masuk ke tapak LTSIP pada April ini.

“Komponen utama projek ini melibatkan pembinaan bangunan terminal baharu yang berkonsepkan reka bina dengan pengasingan balai ketibaan dan pelepasan.

“Projek ini juga melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat selain lima jambatan udara (Aerobridge) akan ditambah menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak lapan jambatan selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mustapa, selain itu, laluan keluar dan masuk ke lapangan terbang juga akan ditambahbaik untuk meningkatkan tahap keselesaan pengguna.

Katanya, kerja-kerja naik taraf LTSIP merupakan salah satu projek terbesar di Kelantan yang mampu meningkatkan hubungan antara negeri ini dengan negeri-negeri lain di seluruh negara.

“LTSIP merupakan lapangan terbang domestik paling sibuk di negara ini. Lapangan terbang ini mengendalikan seramai 1.8 juta penumpang dua tahun lalu, namun ia sebenarnya cuma mampu menampung seramai 1.5 juta penumpang sahaja dalam tempoh setahun.

“Ia perlu dibesarkan dan dinaik taraf bagi menampung jumlah penumpang yang semakin meningkat. Apabila siap, bangunan terminal baharu ini mampu mengendalikan seramai 4 juta penumpang setahun,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI