RABU lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi insan pertama di negara ini menerima suntikan vaksin tersebut.
Suntikan yang bertujuan untuk membina sistem daya lawan jangkitan atau sistem imuniti terhadap virus Covid-19 itu akan diberikan secara berperingkatperingkat meliputi petugas barisan hadapan, golongan yang menghidap penyakit berisiko serta rakyat keseluruhan.
Bagaimanapun, ketika ini masih terdapat segelintir masyarakat yang ragu-ragu terhadap vaksin tersebut terutamanya melibatkan aspek keselamatan, status halalnya selain teori konspirasi yang mengaitkannya sebagai agenda Dajal.
Ketika ini, ketiga-tiga aspek tersebut menjadi topik perbincangan hangat di media-media sosial.
Penulis merasakan perlunya kita mendapatkan maklumat yang tepat daripada pihak yang arif dalam hal ini supaya keputusan kita sama ada untuk menerima atau menolak suntikan vaksin dibuat
berdasarkan pertimbangan dan pengetahuan yang betul.
Maklumat-maklumat yang tersebar khususnya daripada sumber-sumber meragukan dan tidak sahih perlu dielak kerana tidak boleh membantu kita dalam mencegah pandemik Covid-19.
Vaksin yang dibawa masuk ke negara ini sudah tentu akan melalui proses ujian secara saintifik yang mendalam bukan sahaja melibatkan tahap keselamatannya, malah turut meliputi soal halal dan
haram.
Sebelum vaksin yang dibawa masuk diputuskan sebagai selamat dan benar-benar berkesan, ia wajib melalui ujian klinikal yang ketat oleh pihak Institut Penyelidikan Klinikal (ICR).
Malah, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memainkan peranan penting untuk mengesan sebarang perkara yang meragukan seperti unsur babi atau haiwan tidak disembelih di dalam sesuatu vaksin.
Bagi penulis, jika kedua-dua pihak ini iaitu ICR dan Jakim telah memutuskan vaksin Covid-19 yang akan disuntik kepada kita nanti adalah benar-benar selamat, berkesan dan halal, maka tiada sebab lagi untuk kita merasa ragu sehingga perlu menolak untuk menerima suntikan tersebut.
Malah, penulis sendiri telah mendaftar untuk menerima suntikan tersebut nanti kerana yakin dengan kredibiliti ICR dan Jakim.
Apa-apa pun, kerajaan tidak mewajibkan semua rakyat untuk mengambil suntikan vaksinasi Covid-19 dan akan diberi secara sukarela terutamanya kepada golongan yang berisiko dan mudah menghidap penyakit. Jadi tepuk dada, tanyalah selera.
Apa pun keputusan yang diambil, kita berharap rantaian pandemik Covid-19 dapat segera diputuskan dan kita kembali hidup seperti sedia kala.