MANCHESTER – Pasukan Manchester City terus selesa mendominasi carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan West Ham United 2-1 di Stadium Etihad sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, pengurus The Citizens, Pep Guardiola telah membuat rombakan dengan menyenaraikan kembali penyerang sensasi, Sergio Aguero yang baru pulih daripada kecederaan dalam kesebelasan utama.
Namun, gol pembukaan City dijaringkan oleh pemain pertahanan antarabangsa Portugal, Ruben Dias yang bijak menanduk masuk gol pada minit ke-30.
Kelebihan City tidak bertahan lama selepas penyerang West Ham, Michail Antonio menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.
Bersambung pada separuh masa kedua, City terus memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menghasilkan gol kemenangan hasil ledakan seorang lagi pemain pertahanan, John Stones pada minit-68.
Pasukan pelawat cuba untuk bangkit menyamakan kedudukan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut menyaksikan momentum cemerlang City berterusan selepas merekodkan 14 kemenangan berturut-turut dalam kancah EPL musim ini.
The Citizens kini unggul menerajui carta liga dengan mengutip 62 mata selepas mengharungi 26 perlawanan. – AGENSI