PIRAEUS, Greece – Penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang menyelamatkan maruah pasukan itu daripada tersingkir seawal pusingan 32 terbaik Liga Europa musim ini.
Aubameyang, 32, berjaya meledak dua gol termasuk jaringan kemenangan ketika menewaskan jaguh Portugal, Benfica 3-2 pada aksi timbal balik yang berlangsung di gelanggang berkecuali di Stadium Karaiskakis awal pagi semalam.
Kemenangan itu membolehkan The Gunners yang berdepan detik mendebarkan sepanjang aksi tersebut, akhirnya mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik dengan keputusan 4-3 secara agregat.
Bagaimanapun, pengurus Arsenal, Mikel Arteta lebih berminat memuji impak pemain gantian, Willian yang dimasukkan pada minit ke-63.
Willian berjaya mencipta bantuan gol kepada Kieran Tierney empat minit kemudian untuk mengikat kedudukan 2-2.
Situasi itu kembali meningkatkan semangat Arsenal yang perlu mencari satu lagi gol untuk memenangi perlawanan tersebut selepas Benfica meraih dua jaringan melalui Diogo Goncalves dan Rafa Silva.
“Kemasukan Willian nyata mengubah permainan dan memberi kelebihan kepada pasukan. Kreativiti dan kawalan bolanya sangat baik sehingga membantu Tierney menjaringkan gol.
“Tierney juga antara pemain terbaik kami selain Aubameyang dan (Bukayo) Saka kerana dia bekerja keras sepanjang perlawanan walaupun baru pulih daripada kecederaan,” kata Arteta.
Sementara itu, Aubameyang yang kini menemui tahap terbaiknya, berharap kemenangan tersebut mampu menjadi pembakar semangat Arsenal untuk menghadapi aksi getir bertemu Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power esok. – AGENSI