BUDAPEST, Hungary – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui berpuas hati dengan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Monchengladbach pada aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara di Puskas Arena awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Guardiola, 50, merasakan The Citizens sepatutnya memenangi perlawanan tersebut dengan jaringan lebih besar sebagai bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Etihad pada 17 Mac depan.
Kata Guardiola, meskipun mendominasi permainan, namun jentera serangannya gagal memanfaatkan banyak peluang apabila sekadar menjaringkan dua gol menerusi Bernardo Silva dan Gabriel Jesus.
“Kami bermain sangat baik serta fokus sepanjang 90 minit permainan tetapi aksi dan penyudah dalam kotak penalti pasukan lawan sangat mengecewakan.
“Saya gembira secara keseluruhan, namun kami sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar. Tahniah juga kepada pemain lawan kerana memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan ini,” katanya.
Pada masa sama, bekas ketua jurulatih Bayern Munich itu memuji barisan pertahanan pasukannya yang hanya membenarkan satu percubaan tepat daripada Gladbach sepanjang aksi tersebut.
“Mereka (pemain-pemain pertahanan) antara sebab utama kami memenangi 19 perlawanan berturut-turut ketika ini. Serangan dan pertahanan perlu seimbang bagi mewujudkan sebuah pasukan juara,” jelas Guardiola. – AGENSI