LOS ANGELES – Varian Covid-19 negeri California didapati 11 kali ganda lebih berisiko mengakibatkan kematian berbanding varian Afrika Selatan, demikian menurut satu kajian sebagaimana dilaporkan portal berita Mirror.co semalam.
Mutasi tersebut yang berasal dan dikesan di Amerika Syarikat, dikenali dengan nama rasmi B.1.427/B.1.429 dan tergolong dalam senarai varian baharu yang semakin bertambah.
Varian California menyebabkan kandungan virus dalam darah pesakit dua kali ganda lebih tinggi berbanding virus Covid-19 asal yang ditemui di Wuhan, China pada 2019, demikian menurut kajian oleh Universiti California, San Francisco (UCSF).
Kandungan virus lebih tinggi bermakna pesakit tersebut lebih mudah menjangkiti orang lain, namun, perkara tersebut masih dikaji.
Pasukan penyelidik itu turut menyatakan bahawa varian Covid-19 California adalah 11 kali ganda lebih mematikan berbanding varian Afrika Selatan.
Mutasi itu pertama kali dikesan pada Mei tahun lalu tetapi tidak menular sehingga Oktober 2020.
Seorang saintis UCSF memberitahu akhbar Los Angeles Times bahawa varian itu dijangka merangkumi 90 peratus daripada semua jangkitan Covid-19 di California menjelang akhir Mac ini. – Agensi