fbpx

PN Pulau Pinang setuju jalin kerjasama dengan Gerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shabudin (tiga kiri) ketika menyerahkan van jenazah kepada pengurusan Masjid Jamek Al-Islah Pokok Tampang, Tasek Gelugor, hari ini

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

SEBERANG PERAI – Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang secara umumnya telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Gerakan negeri menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan PN negeri, Datuk Shabudin Yahaya susulan satu pertemuan yang diadakan bersama pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini.

Shabudin yang juga Pengerusi Bersatu negeri berkata, pertemuan itu antara lain turut membincangkan persediaan untuk Gerakan menjalin kerjasama bersama PN selain soal pengagihan kerusi kepada parti itu yang pernah menerajui negeri ini.

“Kami (PN Pulau Pinang) mengalu-alukan kehadiran mereka dan perbincangan awal kita itu sebenarnya lebih kepada mencari kaedah terbaik untuk membentuk persefahaman bersama.

“Bagi tujuan itu juga, Ahad ini (lusa) kita akan adakan mesyuarat pertama jawatankuasa PN peringkat negeri dan jika tiada halangan, Gerakan akan menyertai menyuarat yang berikutnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan van jenazah kepada pengurusan Masjid Jamek Al-Islah, Pokok Tampang di Tasek Gelugor di sini hari ini.

Mengulas lanjut soal pengagihan kerusi kepada Gerakan pula kata Shabudin, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan bukannya keputusan.

“Kita perlu bincang semula (soal pembahagian kerusi untuk Gerakan) di peringkat parti (PN) bersama Pas serta parti komponen lain selepas ini.

“Buat masa ini, kita nampak kehadiran mereka lebih kepada soal persediaan untuk memastikan PN lebih berkesan dalam kempennya di Pulau Pinang sekaligus memenuhi hala tuju kita untuk kembali mendapatkan Pulau Pinang dan kita memang bersedia untuk ke arah itu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI