KEMATIAN pelumba legenda Itali dan juara berganda 125cc, Fausto Gresini yang juga pemilik pasukan Gresini Racing amat mengejutkan komuniti sukan permotoran dan memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 tidak boleh dipandang mudah.
Justeru, perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang akan membuka tirai pada 28 Mac depan di Qatar dijangka berlangsung dengan ancaman pandemik Covid-19 berikutan kehadiran pelumba dari pelbagai negara berkampung di negara.
Bagaimanapun, kehadiran vaksin Covid-19 di seluruh dunia dilihat menjadi pilihan terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan, namun Dorna belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan pengambilan suntikan tersebut.
Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengakui pihaknya tidak menerima sebarang arahan atau laporan daripada Dorna dan mereka hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Mengenai vaksin, terlalu awal untuk kita melakukan perancangan kepada pasukan Petronas SRT. Saya pernah maklumkan kepada Dorna jika kita sudah menerima suntikan vaksin adakah dapat pengecualikan dari SOP.
“Namun, Dorna menjelaskan mereka tiada sebarang perancangan mengenai perkara tersebut. Saya yakin ada perubahan dalam beberapa minggu ini dan kita tunggu. Masa ini pasukan hanya mengikuti SOP ditetapkan negara yang kita akan kunjungi,” katanya semalam.
Razlan turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Fausto Gresini selepas kehilangan ikon permotoran yang bertarung nyawa selama dua bulan akibat pandemik Covid-19.
“Kehilangan Gresini merupakan berita sedih buat komuniti MotoGP sebab kami sangat kenal dan mendiang merupakan ikon terkenal. Mendiang juga mengendalikan pasukannya begitu baik dan melahirkan banyak pelumba berbakat. Sudah pasti ia adalah kehilangan besar,” ujarnya.