fbpx

Pertimbang rentas negeri jika capai imuniti kelompok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kelonggaran bagi aktiviti rentas negeri akan dipertimbangkan sekiranya negara mencapai imuniti kelompok dengan sasaran 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia sudah diberikan vaksin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya pernah membincangkan perkara tersebut namun, setakat ini belum ada keputusan yang telah dibuat.

“Justeru dalam tempoh enam hingga sembilan bulan ini, kita menggunakan dua strategi iaitu kesihatan awam dan pemberian vaksin Covid-19. Kita seiringkan supaya mencapai sasaran 70 hingga 80 peratus rakyat diberikan vaksin.

“Selepas itu, mungkin rentas negeri boleh dipertimbangkan. Kita guna dua strategi ini sehinggalah negara mencapai imuniti kelompok,” katanya pada sesi libat urus darurat Covid-19 Siri 4/2021: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 secara maya di sini hari ini.

Ia turut disertai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim yang bertindak sebagai moderator.

Tiga panel lain ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong; Timbalan Pengarah Cawangan Pengurusan Farmasi Logistik Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Norhuda Mohd. Tajuddin serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Maheshwara Rao.

Ditanya mengenai petanda jika negara sudah mencapai imuniti kelompok, Noor Hisham berkata, perkara tersebut perlu dilihat kepada jumlah rakyat yang sudah diberikan vaksin Covid-19.

“Kita mempunyai kira-kira 32 juta rakyat Malaysia jadi kita melihat kepada angka tersebut. Selain itu, kajian dijalankan selepas pemberian vaksin ini iaitu kepada komuniti sama ada antibodi masih ada dan penilaian program vaksin akan dibentangkan nanti.

“Selain itu, penilaian keberkesanan program ini juga sedang dilakukan dan banyak data yang perlu dikumpulkan bagi mendapatkan hasil yang jelas,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI