SEREMBAN – Seorang mualaf gelandangan warga emas yang diusir keluarga kerana memeluk agama Islam akan ditempatkan di sebuah rumah transit Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
Muhammad A. Ponnusamy, 64, yang tinggal di Rasah dipercayai diusir isteri dan anak-anaknya selepas mereka mengetahui dia memeluk agama Islam pada Disember tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat seorang gelandangan yang memerlukan tempat perlindungan selepas diusir keluarga.
“Kami merasa sedih dengan kejadian seperti ini. Sebagai ahli keluarga mereka tidak boleh memberi alasan tersebut dan ini pertama kali keganasan rumah tangga melibatkan lelaki, saya berharap ahli keluarganya menerima semula.
“Kami akan memohon penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) dan kami juga akan berbincang dengan keluarga dan jika ada keperluan pihak kami akan menghantar Muhamamad ke Rumah Seri Kenangan kerana dia merupakan warga emas. Saya juga akan bantu cari kerja untuknya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah transit MAINS dekat sini hari ini.
Sementara itu, menurut Nicole, orang ramai yang mempunyai masalah berkaitan keganasan rumah keluarga boleh menghubungi pihaknya dengan kadar segera.
“Saya berharap orang ramai yang mengalami masalah seperti ini boleh menghubungi saya agar kami dapat atasi masalah ini dengan segera sekali gus mengelakkan perkara seperti ini berulang,” katanya.
Sementara itu, Muhammad memaklumkan dia telah memasuki agama Islam sejak lapan tahun lalu namun dia merahsiakan perkara itu daripada isteri dan anak-anaknya.
“Saya memasuki Islam atas keinginan sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. Sebelum ini, ketika dihalau dari rumah, saya tinggal di asrama pekerja yang disediakan majikan.
“Apabila usia saya 60 tahun, majikan telah memberhentikan saya dan sejak itu saya tiada tempat tinggal sehingga terpaksa tidur di kaki lima sekitar Rasah,” ujarnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini. – K! ONLINE