fbpx

Mohon golongan antivaksin berlapang dada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli (kanan) dan Ronald menerima vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya di sini hari ini.

PUTRAJAYA – Marilah bersama-sama berlapang dada dan buat yang terbaik untuk diri sendiri dan masyarakat.

Itu pesanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada golongan antivaksin di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya di Presint 11, di sini kira-kira pukul 3.20 petang tadi.

Turut sama menerima suntikan bersama beliau petang tadi adalah Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Zulkifli berkata, beliau menyeru kepada golongan antivaksin supaya melihat isu vaksin Covid-19 dengan lebih mendalam lagi.

“Kepada golongan sahabat kami yang mendakwa bahawa vaksin tidak perlu, marilah kita tengok dengan lebih mendalam lagi isu ini.

“Kita boleh fikir secara lebih meluas lagi. Insya-Allah kita akan temukan jalan yang terbaik,” katanya.

Katanya, kesan pengambilan vaksin diperakui berkesan dan memberi kesan positif di serata dunia.

Malah, katanya, vaksin itu turut diambil ulama-ulama terkenal dunia khususnya di Arab Saudi, Mekah, Mesir dan beberapa negara lain.

“Ia memberi isyarat dan keyakinan bahawa vaksin ini bukan bermasalah dan sebaliknya memberi kekuatan kepada tubuh dalam melindungi diri dari wabak ini.

“Insya-Allah usaha ini akan mendapat kejayaan untuk kita memberi seramai mungkin vaksin kepada rakyat Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

Katanya, jika rakyat Malaysia menyokong program pemberian vaksin ini, insya-Allah negara akan menang melawan Covid-19.

Sementara itu, Ronald berkata, pemberian vaksin penting bagi membantu negara melandaikan wabak ini pada masa depan.

Menurutnya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu mendapat kerjasama padu daripada seluruh rakyat Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI