fbpx

Lambat jadi pelakon, Husna tak sesal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH HUSNA

PESONA dan kehadiran selebriti wanita berhijab yang menyerikan dunia lakonan bukan lagi sesuatu yang pelik. Pendek kata penonton sudah mengalu-alukan kelibat insan seni bertudung seperti Mira Filzah, Ummi Nazeera, Zulin Aziz, Wan Sharmila, Elfira Loy dan ramai lagi jelitawan berhijab dalam pelbagai lapangan, tidak hanya terbatas menerusi lakonan semata-mata.

Mencuri tumpuan di sebalik nama-nama pelakon bertudung lain, kemunculan pendatang baharu dengan nama pentas Husna Mustaffa kini menunggu giliran untuk bersinar.

Bermula sebagai model muslimah dan popular dalam media sosial sekitar tahun 2015, kini Husna melangkah setapak lagi dalam karier apabila bergelar pelakon.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu buat kali pertama muncul dalam sebuah drama berjudul Mencari Kiblat Cinta sebagai pelakon utama yang bersiaran menerusi TV Okey.

SHARIFAH HUSNA sebelum ini bergelar model Muslimah sejak tahun 2015.

Drama yang bersiaran selama 26 episod terbitan NS Star Studio milik Darling Ngasri berkenaan turut dibintangi pelakon kacak Syazuwan Hassan dan wajah baharu, Shah Hazvee.

Pemilik nama penuh Sharifah Husna Syed Mustafa itu mengakui, tidak pernah tumbuh sesalan dalam hatinya biarpun agak lewat terjun ke dunia lakonan. Bahkan, dia tanpa berselindung mengakui statusnya sebagai wanita berkahwin.

“Saya berkahwin pada usia 22 tahun dan sekarang sudah berusia 34 tahun. Suami pula dua tahun lebih tua daripada saya. Kami berkahwin sejurus saya menamatkan pengajian di sebuah universiti.

“Selama ini pun saya tidak pernah menyembunyikan status diri dan gambar bersama keluarga banyak dikongsi dalam media sosial.

“Saya percaya rezeki datang dari Allah. Kita sebagai manusia kena terus berusaha.

“Suami pun antara penyokong kuat apa yang saya lakukan selama ini. Dia tidak pernah menghalang minat saya. Daripada zaman sebelum berlakon, sibuk dengan uji bakat peragaan dan iklan komersial, dialah yang akan menemani,” katanya yang pernah bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah universiti.

Perkahwinan Husna dan suaminya diserikan dengan kehadiran dua orang cahaya mata iaitu Putera Adam Harith berusia kini 11 tahun dan kedua pula Puteri Adra Hana, lapan tahun.

Cabaran

Biarpun sudah berada dalam gelanggang dunia lakonan, namun ironinya wanita kelahiran Johor Bahru, Johor itu mendedahkan suaminya agak berat hati memberi keizinan ketika mula-mula memutuskan mahu menjadi pelakon.

“Saya percaya dia mempunyai pandangan tersendiri untuk mempertimbangkan keputusan saya jadi pelakon. Saya yakinkan dia yang boleh buat (berlakon).

HUSNA ketika menjayakan drama Mencari Kiblat Cinta bersama Syazuwan Hassan.

“Alhamdulillah hingga saat ini, dialah yang terus bagi semangat untuk saya lebih berjaya dalam arena lakonan. Cuma saya harus tahu batas sebagai isteri yang mencari rezeki sebagai pelakon,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.

Jelas Husna yang pernah menjadi model video muzik lagu Satu nyanyian Najwa Latif, awalnya dia berdepan cabaran untuk membawa diri ke depan supaya dikenali.

“Maklumlah saya bermula ketika usia sudah 30-an selain berstatus isteri dan ibu orang. “Sukar juga untuk saya memecahkan tembok itu. Tetapi saya manfaatkan sebaiknya peluang yang terhidang di depan mata.

“Selepas itu barulah orang nampak yang saya menunjukkan komitmen tinggi dalam kerja. Cuma saya tidaklah menyasarkan populariti, cukup sekadar diterima ramai. Kalau popular, saya anggap itu semua bonus,” katanya yang menuntut ilmu lakonan daripada pelakon Zul Huzaimy.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI