PETALING JAYA – Sebanyak 14 kes kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972) dikesan dilakukan oleh peniaga durian sepanjang Ops Duri 2.0 dilaksanakan bermula 22 hingga 24 Februari lalu.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, sebanyak sembilan kes dikesan di bawah AKHAP 2011 dan lima kes di bawah ATS 1972 melibatkan kompaun bernilai RM2,600 dikeluarkan ke atas peniaga durian terbabit.
“Sejak pelaksanaan Ops Duri 2.0, sejumlah 311 pemeriksaan telah dibuat. KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama peniaga menjalankan aktiviti perniagaan secara jujur, beretika dan tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasikan harga mahupun timbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rosol menjelaskan, peniaga durian tertakluk kepada peraturan tanda harga yang jelas, mempamerkan jenis durian, menggunakan alat timbang yang sesuai dan memastikan alat timbang masih dalam tempoh tentu sah.
Menurut beliau, peniaga durian juga perlu mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Perdagangan Pengedaran dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang ditetapkan.
“Ops Duri 2.0 ini diperkasakan atas dasar melindungi pengguna dan meningkatkan etika peniaga durian,” katanya. – K! ONLINE