fbpx

Elak terlepas tarikh temu janji pemberian vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang sudah mendapat pengesahan bagi tarikh pemberian vaksin Covid-19 kelak diingatkan supaya tidak terlepas temu janji tersebut bagi mengelakkan pembaziran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jika individu tersebut gagal hadir, pihaknya akan melihat sama ada penerima lain misalnya dalam kalangan petugas kesihatan atau barisan hadapan yang berada di dalam senarai menunggu untuk menggantikannya.

“Dalam operasi pembedahan di hospital ada temu janji dan dianggarkan kira-kira 15 peratus tidak hadir walaupun tarikh sudah diberi. Jadi ini membazir sumber tenaga dan masa kerana persedian sudah dibuat.

“Justeru dalam hal ini, kita tak nak ada pembaziran terhadap vaksin Covid-19. Kalau tak hadir juga, kita akan lihat individu lain sama ada kakitangan kita iaitu petugas kesihatan atau barisan hadapan (menggantikannya).

“Vaksin ini perlu diberikan kepada individu dalam tempoh enam jam serta tidak boleh disimpan. Kalau mereka tidak datang, mungkin pembaziran berlaku dan cuba elakkan pembaziran ini,” katanya pada sesi libat urus darurat Covid-19 Siri 4/2021: Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 secara maya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, ada negara yang mengambil tindakan termasuk denda kepada rakyatnya yang gagal hadir temu janji pemberian vaksin tanpa sebarang alasan kukuh.

“Kita berharap rakyat Malaysia boleh patuh. Mungkin kita akan letak persediaan sebagai contoh di negara lain, kalau seseorang itu tidak hadir ia akan digantikan oleh petugas barisan hadapan seperti polis atau tentera.

“Sehubungan itu, kita akan melihat tindakan kita supaya mengelakkan pembaziran vaksin tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Maheswara Rao berkata, mereka yang terpilih untuk menerima vaksin Covid-19 akan diberikan notifikasi melalui aplikasi MySejahtera tujuh hari dan tiga hari sebelum diberikan suntikan.

“Pengguna akan diberi peringatan untuk mengesahkan kehadiran terhadap tarikh yang diberikan. Jika dia tidak boleh hadir pada tarikh itu, boleh jawab ‘tidak’ atau ‘ya’ sekiranya boleh hadir,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI