IPOH – Membuat rakaman video selepas menyimbah cat merah di rumah peminjam bagi tujuan ugutan merupakan taktik dilakukan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long untuk menakutkan individu yang culas membayar hutang.
Bagaimanapun, perbuatan itu berakhir apabila enam individu termasuk remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki mengambil upah membuat ugutan tersebut ditahan polis baru-baru ini.
Suspek berusia 16 hingga 42 tahun itu diberkas dalam operasi khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menerusi dua serbuan di Ipoh dan Manjung.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash berkata, tangkapan melibatkan dua kumpulan itu dilakukan susulan dua laporan polis oleh pengadu yang mendakwa rumah mereka disimbah cat merah dan ditampal notis amaran.
Katanya, notis amaran itu mengarahkan peminjam untuk menghubungi ah long semula.
“Kedua-dua mangsa tidak mengetahui jumlah pinjaman tersebut kerana dibuat oleh ahli keluarga mereka yang kini dipercayai berada di Singapura.
“Risikan yang dilakukan kemudiannya membawa kepada tangkapan dua lelaki dan seorang wanita di sebuah bilik sewa di Bercham dan tiga lelaki di stesen minyak sekitar Manjung,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati dua kumpulan tersebut aktif menjalankan aktiviti itu sejak Mac dan Disember lalu sehingga kini.
Katanya, sindiket itu juga didapati melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat merah ke rumah keluarga peminjam dan membuat rakaman video bagi tujuan ugutan jenayah kepada keluarga peminjam. -K! ONLINE