GEORGE TOWN – Seorang buruh terselamat dari tali gantung selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada dua pertuduhan mengedar 2,601 gram (g) dadah jenis monoacetylmorphine dan heroin empat tahun lalu.
Hakim Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Tang Chin Tart, 56, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Mohd. Radzi turut menolak keterangan yang dikemukakan oleh pegawai tangkapan dan penolong pegawai tangkapan kerana terdapat banyak percanggahan.
Mengikut pertuduhan pertama, Chin Tart didakwa mengedar sebanyak 107.4 g dadah jenis monoacetylmorphine dan heroin di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang di sini pukul 10.15 malam pada 8 Mei 2017.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar 2,493.6 g dadah jenis monoacetylmorphine pada waktu, tarikh dan tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Teh Li Siew, manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan V. Santhiran. – K! ONLINE