MELBOURNE – Pemain tenis wanita No.1 dunia, Ashleigh Barty bengang dengan para peminat yang meletakkan harapan terlalu tinggi terhadapnya pada Kejohanan Antarabangsa Adelaide ketika ini.
Barty yang turun selaku pilihan utama, tersingkir pada pusingan 16 terbaik selepas tewas straight-set 3-6, 4-6 kepada wakil Amerika Syarikat, Danielle Collins kelmarin.
Barty tampil mempertahankan dirinya dengan mendakwa harapan menggunung daripada para peminatnya menyebabkan dia terpaksa bermain dalam keadaan tertekan pada kejohanan tersebut.
“Tiada perlawanan yang mudah apabila anda menyertai mana-mana kejohanan. Saya tahu peminat ada hak menyuarakan sokongan untuk melihat kemenangan saya.
“Bagaimanapun, apabila anda melangkah masuk ke gelanggang, tuah tidak selalu memihak kepada anda. Kemenangan tidak mudah terjamin dalam sukan tenis ini,” kata Barty.
Dalam masa sama, pemain berusia 24 tahun itu mengakui, Collin menampilkan corak permainan lebih baik sehingga menyukarkan dia menyesuaikan diri dengan tempo perlawanan.
“Gelanggang ini menyebabkan bola bergerak pantas dan perlu mengambil masa untuk sesuaikan diri. Collins ada kelebihan kerana dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang,” ujarnya. – AGENSI