fbpx

USIM wajibkan suntikan vaksin semua pelajar, kakitangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis perasmian Laman Prosumer di Jabatan Keselamatan, USIM, Nilai dekat sini hari ini.

SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewajibkan semua pelajar dan kakitangannya untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, USIM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan akan mengikut setiap garis panduan ditetapkan bagi memastikan semua kakitangan dan pelajar mendapat suntikan berkenaan.

“Seperti yang kami sedia maklum, vaksin tersebut diberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan bagaimanapun, ada pelajar yang menulis surat untuk menawarkan diri bagi menjadi sukarelawan vaksin ini.

“Kami jangkakan seramai 2,000 kakitangan dan 12,000 penuntut akan menerima vaksin tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laman Prosumer di Jabatan Keselamatan, USIM, Nilai dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi menjamin kelestarian sumber dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar, USIM menyasarkan penanaman sebanyak 10,000 polibeg tanaman rock melon menjelang hujung tahun ini.

“Pihak jabatan telah menjayakan program ini bermula Disember 2020 dan hasilnya boleh dituai selepas 75 hari ditanam. Kami menyasarkan sebanyak 10,000 polibeg rock melon menjelang akhir tahun 2021,” katanya.

Tambah Mohamed Ridza, objektif pelaksanaannya bagi meningkatkan bilangan inkubator keusahawanan berasaskan Prosumerisme dalam kalangan staf jabatan.

“Langkah seterusnya pihak universiti akan mendapatkan kepakaran dan nasihat bagaimana hendak menjual buah ini di luar kampus. Kami akan mendapatkan khidmat nasihat bagi mendapatkan hasil yang lumayan.

“Kami akan mendapatkan khidmat nasihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan industri dalam memastikan penanaman ini memberi impak kepada komuniti,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI