MANCHESTER – Gergasi England, Manchester United dijangka tidak berdepan masalah mara ke pusingan 16 Liga Europa berdasarkan defisit besar ke atas Real Sociedad menjelang aksi timbal balik peringkat 32 di Stadium Old Trafford awal pagi esok.
Sebagai rekod, The Red Devils memiliki kelebihan empat gol di tempat lawan selepas merakam kemenangan 4-0 ke atas Sociedad sewaktu aksi pertama yang berlangsung di Stadium Alianz di Turin, Itali pada 19 Februari lalu.
Begitupun, pengurus United, Ole Gunnar Solskajer enggan memandang rendah kemampuan wakil Sepanyol itu dan tidak akan menurunkan pemain-pemain muda seperti Amad Diallo serta Shola Shoretire dalam kesebelasan utama aksi tersebut.
“Besar kemungkinan tidak berlaku kerana ia tidak adil kepada pemain-pemain lain. Apa yang pasti Shola dan Amad akan berada dalam skuad untuk perlawanan itu,” kata Solskjaer.
Bagaimanapun, pengendali berusia 47 tahun itu memberi bayangan mungkin menurunkan Edinson Cavani menentang Sociedad selepas bekas penyerang prolifik Paris Saint-Germain tersebut diketepikan dalam dua perlawanan terakhir.
“Saya masih belum pasti situasi Donny (van de Beek) dan Scott (McTominay) tetapi saya berharap mereka dapat diturunkan, sama seperti Edinson (Cavani) untuk aksi ini,” jelasnya.
Difahamkan, keputusan Solskjaer mahu menurunkan skuad terbaiknya berdasarkan situasi semasa Sociedad mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Deportivo Alaves yangmenyaksikan Alexander Isak meledak hatrik dalam aksi La Liga itu.
Pengendali dari Norway itu tentunya tidak sanggup tersingkir daripada saingan Liga Europa selepas memiliki kelebihan besar ke atas Sociedad walaupun dijadualkan bertemu Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge awal pagi Isnin ini. – AGENSI