SUNGAI PETANI – Lapan buah rumah di Taman Ria Jaya di sini mengalami kerosakan selepas bumbung garaj diterbangkan angin kuat pada petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, satu pusaran angin dikatakan melanda kawasan tersebut dan menerbangkan bumbung di bahagian garaj rumah terlibat.
Kejadian didakwa berlaku ketika cuaca panas terik.
Seorang penduduk, Mohd. Salleh Ab.Razak, 61, memberitahu, ketika kejadian dia berada di dapur rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi benda pecah.
“Saya terus keluar dan terkejut apabila mendapati bumbung garaj jenis asbestos di hadapan rumah pecah dan berterabur.
“Walaupun kejadian pusaran angin seperti puting beliung itu berlaku hanya dalam tempoh seminit, namun kerosakan pada bumbung garaj sangat teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini sebentar tadi.
Menurutnya, dia mengalami kerugian hampir RM2,000 akibat kejadian itu.
Seorang lagi penduduk, Zarina Ahmad, 56, berkata, semasa kejadian dia berehat di ruang tamu rumah bersama anaknya selepas makan tengah hari.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi deruan angin yang kuat disertai dentuman membuatkan saya bingkas bangun untuk meninjau apa yang berlaku.
“Saya terkejut apabila mendapati beberapa keping bumbung garaj rumah saya diterbangkan angin dan terdapat serpihan bumbung dipercayai milik jiran memenuhi hadapan rumah saya,” katanya.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Kak Teh pula berkata, dia dan suami berlari keluar dari rumah selepas mendengar bunyi angin yang kuat kerana bimbang ditimpa kayu dan bumbung rumah.
“Sebahagian besar bumbung garaj rosak diterbangkan angin,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM1,000. – K! ONLINE