fbpx

Syabu RM3.6 juta dijumpai atas longgokan sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafien Mamat (dua dari kanan) bersama pegawai menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ZULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU – Polis sekali lagi membongkar taktik licik sindiket pengedar dadah apabila berjaya menemui dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta yang disembunyikan dalam longgokan sampah di belakang sebuah kosong di Lubok Gong di Pasir Mas semalam.

Lokasi penemuan dadah itu terletak kira-kira 100 meter dari sebuah rumah terbakar yang menjadi tempat penyimpanan dadah bernilai RM4.2 juta ditemui oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman bertindak menyerbu rumah tersebut pada pukul 10.30 malam selepas menerima maklumat berlaku pergerakan individu yang mencurigakan di kawasan itu.

Katanya, apabila tiba di lokasi tersebut, polis telah menjalankan pemeriksaan di dalam rumah itu dan mendapati ia kosong selain tidak berpenghuni.

“Pemeriksaan lanjut di belakang rumah tersebut membawa kepada penemuan empat bungkus plastik yang mengandungi 101 kotak bungkusan plastik lutsinar disyaki berisi 101 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM3.6 juta.

“Siasatan awal mendapati, rampasan dadah ini mempunyai kaitan dengan penemuan dadah jenis syabu bernilai RM4.2 juta pada Isnin lalu. Ini kerana, rumah itu terletak kira-kira 100 meter dari lokasi penemuan dadah sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Menurut Shafien, berdasarkan siasatan, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai mencuba pelbagai cara dan pendekatan untuk mengedar dadah yang diseludup dari negara jiran.

Katanya, penemuan dadah itu juga menunjukkan bahawa sindiket itu mencuba nasib dengan menyimpan dadah-dadah itu di dalam longgokan sampah dengan berharap kegiatan mereka tidak dikesan pihak berkuasa.

Tambah Shafien, polis sedang mengesan dalang yang terlibat dalam kegiatan penyimpanan dadah di Kampung Lubong Gong itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI