SEPANG – Tindakan sebuah kilang kitar semula plastik terpakai di Banting menjalankan aktiviti kitar semula tanpa kelulusan membawa padah apabila didenda RM120,000 bagi lapan pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini.
Pengakuan bersalah syarikat dan pengarah syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) dibuat di hadapan Hakim Tengku Shahnizam Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan pertama, syarikat dan pengarah syarikat tersebut didapati telah menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak di bawah Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pada 4 Oktober 2018.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, syarikat dan pengarah syarikat didapati gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara seperti kehendak di bawah Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Bagi pertuduhan keempat pula didapati bahawa syarikat dan pengarah syarikat gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Orang awam boleh melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. -K! ONLINE