SUNGAI PETANI – Seorang peniaga cedera parah akibat dilibas dengan senjata tajam dipercayai pisau dalam kejadian samun di gerai miliknya berhampiran Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Lencongan Timur di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Zainol Hussin, 58, mengalami kecederaan di bahagian kiri perut dan kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang baru tiba ternampak sebuah motosikal jenis Honda Wave diletakkan di tepi jalan utama berhadapan gerainya.
“Seterusnya mangsa masuk ke dalam gerai dan mendapati seorang lelaki tidak dikenali sedang memegang beberapa tin sardin dan telur masin.
“Mangsa bertindak menegur suspek menyebabkan lelaki itu berlari ke arah motosikal dengan membawa barang-barang yang dicuri,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa mengejar suspek dan sempat mengambil kunci motosikal sebelum berlaku pergelutan antara mereka. – K! ONLINE