KOTA BHARU – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah ditahan sepasukan anggota polis trafik ketika sedang menjalankan operasi di Jalan Mahmood di sini hari ini.
Kegiatan suspek yang berusia 35 tahun itu terbongkar apabila enam anggota trafik menahan kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu lelaki berkenaan kira-kira pukul 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, selepas menahan kereta terbabit, polis telah melakukan pemeriksaan di dalam kereta dan sebuah beg silang di badannya.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sebanyak 143 biji pil berwarna merah yang disyaki dadah jenis pil kuda di dalam beg silang itu.
“Selain itu, polis juga menjumpai satu plastik berisi enam paket yang berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu seberat 4.6 gram. Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,000,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Abdul Rahim, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, siasatan mendapati, suspek berasal dari Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini dan dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
Tambah Abdul Rahim, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE