PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan melalui agensi pengawalseliaan penerbangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melancarkan tiga garis panduan (CAD) baharu pesawat tanpa pemandu atau dron (UAS) di Malaysia yang berkuat kuasa 1 Mac ini.
Menterinya Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, garis panduan itu adalah CAD 6011 Bahagian (I) – Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO); CAD 6011 Bahagian (II) – Operasi Pertanian UAS (AGR) dan CAD 6011 Bahagian (V) – Projek UAS Khas (SUP).
“CAD dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CAAM dalam menjalankan kuasa yang diberikan menurut Seksyen 240 Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].
“Penerbitan CAD baru ini adalah untuk menampung peningkatan operasi UAS yang melibatkan pelbagai bidang,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Ka Siong berkata, CAAM juga akan melancarkan garis panduan lain termasuk kategori ‘terbuka’ dan dron ‘hobi’ bagi tujuan riadah atau rekreasi yang dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.
“Ia penting memandangkan arus teknologi terus berkembang dan garis panduan itu akan memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Ka Siong berkata, antara tahun 2015 hingga 2019, sebanyak 46,876 dron telah diuji dan didaftarkan dengan SIRIM yang dikeluarkan bersama logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Pada tahun lalu, terdapat kira-kira 10,000 unit dron berdaftar,” katanya. – K! ONLINE