PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying sedar hanya tinggal lebih kurang seminggu lagi untuk melakukan persiapan menghadapi kejohanan Terbuka Switzerland 2 hingga 7 Mac depan.
Dia yang bergandingan dengan Chan Peng Soon mengakui sudah melakukan persiapan rapi sebaik sahaja Sirkit Asia di Bangkok, Thailand berakhir.
Justeru, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu tekad menampilkan aksi lebih baik pada Terbuka Switzerland, apatah lagi turun sebagai pilihan utama kejohanan.
“Persiapan ke Switzerlandberjalan baik dari segi latihan kerana kami mahu layak lebih jauh pada kejohanan tersebut.
“Kami sudah kesan beberapa kelemahan, jadi ia sudah diperbaiki sepanjang tempoh persediaan. Saya harap boleh bermain baik kali ini,” katanya dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, pemain kelahiran Melaka itu mengakui kejohanan Terbuka Switzerland sangat penting kerana ia menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo, jepun.
Sementara itu, Liu Ying juga menjelaskan perancangan mereka sedikit terjejas selepas kejohanan Terbuka Jerman yang dijadualkan berlangsung 9 hingga 14 Mac terpaksa dibatalkan akibat Covid-19.
“Sudah tentu sedikit tergendala apabila Terbuka Jerman dibatalkan kerana kami sepatutnya turut serta sebelum bermain di All England,” ujarnya.