PERTAMA sekali, penulis ingin menyatakan aktres Rosamund Pike dan Peter Dinklage sebagai gandingan yang sangat hebat untuk karya I Care A Lot.
Sama ada penulis terlalu memuja naratif atau pun jalan cerita naskhah rahan sutradara bernama J Blakeson itu, semua itu tidak penting.
Jawapannya, legal guardian bukan sesuatu yang lazim di Malaysia terutama melibatkan warga emas.
Kisah tersebut mungkin hanya bersifat satira yang wujud dalam bentuk filem. Mana mungkin hanya menggunakan ‘air liur’ di mahkamah dan kemudian sewenang-wenangnya kehidupan warga emas dirampas sepenuhnya, sekali gus memiliki hak mutlak terhadap harta mereka.
Difahamkan, filem yang diangkat ke layar skrin Netflix tersebut berdasarkan kisah benar. Kes-kes terpencil sebegitu barangkali juga wujud di Malaysia, namun sejauh mana tidak pasti.
Pike, Dinklage terbaik!
Berbalik tentang kualiti filem, penulis ingin kembali semula kepada perenggan pertama tentang terjemahan cemerlang lakonan yang dimainkan oleh dua karakter utamanya, Marla Grayson lakonan Rosamund Pike dan Roman Lunyov (Dinklage).
Cetusan ‘kimia’ antara mereka sangat berkesan. Pemilihan Pike dan Dinklage melakonkan watak Marla dan Lunyov sangat tepat.
Setiap lontaran dialog, lirikan mata sama ada dalam emosi marah, sedih dan kecewa, begitu juga bahasa tubuh melalui karakter yang masing-masing, semuanya hampir sempurna.
Misalnya, buat Dinklage yang melakonkan watak mafia. Biarpun bertubuh kerdil namun kehadiran penuh karisma tersendiri yang mahal untuk dinikmati penonton.
Banyak babak (walaupun tidak semaksimum Pike) yang dijayakannya cukup berbekas.
Lirikan matanya ketika babak akhir yang menyaksikan penyatuan dengan ibunya begitu meruntun jiwa.
Sebagai ‘con woman’, Pike merupakan seorang aktres yang memberi epitome kelas atas dengan budaya fesyen serba elit.
Disebabkan wataknya, terdetik dalam fikiran penulis memiliki pod (rokok elektronik), namun abaikan rasukan negatif itu.
Apa pun, itulah kualiti seorang pelakon yang bukan sahaja berjaya mempengaruhi walaupun tindakan itu bukanlah satu ikutan yang bagus.
Mesej
Karya I Care A Lot sebenarnya banjir dengan sumpah seranah yang tidak sesuai untuk penonton konservatif.
Tidak kurang juga dengan adegan ganas yang mungkin kurang sesuai untuk tatapan umum.
Itu yang menariknya tentang I Care A Lot.
Sama ada filem berkenaan layak dicadangkan sebagai bahan tontonan yang menarik, semua itu juga boleh penulis nyatakan secara berterus-terang.
Biarpun sangat mengagumi karakter Marla yang dijayakan Pike, pada masa sama, watak tersebut layak dibenci.
Dia oportunis, tidak berhati perut, kejam dan yang pada pengakhiran cerita, karakternya seperti ‘menghalalkan’ hampir semua kejahatan demi kemewahan yang akhirnya membawa kepada tertubuhnya Grayson Guardianship.
Tidak pasti dengan penerimaan orang lain, perasaan empati dan simpati penulis cenderung ke arah Roman Lunyov dan ibunya walaupun dia juga sebenarnya berperangai iblis bersikap oportunis.
Apa pun, cita rasa seseorang bersifat subjektif. Benar, gandingan Pike dan Dinklage sangat sempurna, namun penceritaan dan subteksnya secara bukanlah sesuatu yang perlu dijulang.
Markah terbaik untuk I Care A Lot masih diterajui permainan karakter yang cemerlang. Selamat menonton!