PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali melahirkan kesyukuran selepas selamat menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 hari ini.
Turut menerima suntikan vaksin itu hari ini ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd. Syafiq Abdullah.
“Saya bersama-sama Menteri Kesihatan serta KSU KKM dan juga tiga petugas barisan hadapan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Semoga usaha ini dapat melandaikan keluk jangkitan Covid-19 agar kita semua dapat kembali menikmati kehidupan seperti sedia kala, insya Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Mohd. Zuki berkata, dia berharap semua penjawat awam segera mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencipta sejarah selepas menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 di Pusat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 sekali gus menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula.
Turut menerima vaksin semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bersama empat petugas barisan hadapan KKM. -K! ONLINE