fbpx

Kedai permaidani di Tunjong musnah dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba sedang memadamkan kebakaran di sebuah premis menjual permaidani di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Tindakan pantas seorang pekerja memberi amaran kepada majikannya berjaya menyelamatkan mereka daripada terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah kedai permaidani di Jalan Kuala Krai dekat Bandar Baru Tunjong di sini petang ini.

Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, hampir keseluruhan sebuah premis dua tingkat itu musnah sewaktu kebakaran berlaku.

Pekerja terbabit, Nur Hadirah Mohd Azhar, 22, berkata, selepas pulang daripada membeli nasi bungkus untuk makan tengah hari dengan menunggang motosikal, dia terkejut melihat kepulan asap tebal dari tingkat atas kedai itu.

Katanya, dia terus masuk ke dalam untuk memberitahu majikannya yang merupakan seorang wanita berusia 50-an dan anak lelaki berusia 26 tahun yang langsung tidak menyedari kejadian itu.

“Dia dan anaknya segera berlari keluar dan hanya sempat menyelamatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah motosikal milik mereka.

“Sebelum itu, majikan saya memaklumkan bahawa dia terdengar bunyi letupan kecil di bahagian kedai, namun dia tidak mengesyaki sebarang kejadian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba I Anwar Abu Bakar berkata, 61 anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikerahkan ke lokasi.

“Kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke dua rumah berhampiran, namun kedai permaidani dua tingkat itu musnah kerana api marak terlalu cepat.

“Api dapat dikawal sepenuhnya pukul 3.35 petang. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI