SHAH ALAM – Hakim Mahkamah Sesyen di sini mengingatkan seorang bekas penolong pengurus sebuah syarikat logistik supaya tidak mengulangi perbuatan rasuahnya kerana telah berumur.
Hakim Rozilah Salleh menjatuhi denda RM10,000 terhadap T. Vadivelan, 51, yang mengaku bersalah menerima suapan bagi meneruskan kontrak lantikan kerja, empat tahun lalu.
Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada dua anak itu dipenjara empat bulan, sekiranya gagal membayar denda.
“Kamu telah berumur dan patut kesal dengan perbuatan itu ( rasuah ). Jadi jangan mengulanginya lagi,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan, Vadivelan dituduh menerima suapan RM4,804.40 daripada seorang lelaki merupakan pengurus sebuah syarikat sebagai dorongan untuk meneruskan kontrak lantikan kerja-kerja untuk pembekalan tenaga kerja.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Taman Subang Perdana di sini pada 15 Oktober 2017.
Justeru, Vadivelan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya mengikut mengikut Seksyen (25) (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum Seksyen 25 (2) akta sama.
Tertuduh kini bekerja sebagai eksekutif di sebuah gudang selepas diberhentikan kerja di syarikat lamanya sejak tiga tahun lalu.
Dalam prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukannya.
“Sepatutnya melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa bukannya mengambil peluang terhadap hubungan kerja dengan syarikat tersebut,” tegasnya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman dikurangkan kerana perlu menyara dua anaknya berusia 18 dan 20 tahun yang masing-masing sedang menuntut di sebuah politeknik selain perlu menyara ibu mentua yang sakit buah pinggang. -K!ONLINE