PASUKAN gergasi Johor Darul Ta’zim melancarkan jersi baharu bagi mengharungi saingan musim 2021 dengan menampilkan tema ‘berlian’ sesuai dengan kejayaan menjulang trofi Liga Super buat kali ke-7 berturut-turut.
Warna bagi jersi tuan rumah (home) skuad Harimau Selatan musim ini adalah berlandaskan warna bendera Johor iaitu biru dan merah manakala jersi tempat lawan (away) didominasi dengan warna putih.
Pemain sensasi JDT, Safawi Rasid berkata, jersi baharu keluaran jenama antarabangsa terkemuka, Nike ini sememangnya memiliki keunikan tersendiri dengan membuatkan pemain di padang bangga untuk memakainya.
“Jersi baharu JDT sentiasa membuatkan kami sebagai pemain teruja untuk menyarungnya khususnya di dalam atau diluar padang. Malah, jersi ini adalah kebanggaan komuniti JDT khususnya buat penyokong kami di luar sana.
“Malah, corak kali ini menggambarkan kejayaan pasukan menjuarai Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut dan memberi semangat serta motivasi untuk pemain tampil lebih cemerlang musim ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan memberi subsidi dengan menanggung lebihan kos jualan jersi away versi pemain yang sepatutnya dijual pada harga RM429 kepada RM185.
Jersi away dipilih sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong selain warna jersi itu melambangkan venue rasmi JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim.
Lebih menarik, jersi tersebut dikeluarkan secara terhad untuk 500 pembeli terawal di laman web rasmi JDT bermula hari ini.
Sementara itu, jersi home edisi penyokong akan dijual pada harga RM185 dan ia boleh didapati secara dalam talian ataupun butik Nike terpilih hari ini.