PETALING JAYA – Menjadi sohor kini dalam Twitter berikutan isu mempersendakan kematian penyanyi K-pop dan memberi jolokan Lisa Blackpig kepada satu watak drama arahannya, pelakon Janna Nick mendedahkan, dia bukan hanya berdepan provokasi menjatuhkan bahkan beberapa ugutan bunuh daripada netizen.
Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner menegaskan, dia nekad meneruskan tindakan undang-undang apabila perkara yang sengaja disensasikan itu membabitkan keselamatan diri dan keluarganya.
“Saya terpaksa mengambil serius perkara ini kerana ditularkan semula selepas tiga tahun. Apatah lagi, perkara berkenaan membabitkan isu sensitif seperti kematian yang saya tidak akan sesekali saya permainkan.
“Tidak mungkin kenyataan sebegitu keluarkan daripada mulut saya. Lebih mengeruhkan keadaan apabila saya memilih untuk nyahaktif akaun Instagram namun timbul pula isu lain mengatakan saya membalas komen seorang ustaz supaya tidak terlalu taksub dengan K-pop.
“Perkara itu satu penganiayaan dan fitnah terhadap saya. Sedangkan ayat tersebut langsung tidak dinyatakan dalam akaun sosial media saya. Beberapa ugutan bunuh menyusul selepas komen tersebut menjadi semakin tular,” kata Janna menerusi sidang media secara dalam talian semalam.
Diwakili peguam Ben Syazmin daripada Tetuan Tan Norizan & Asscociates, Janna serius mahu mengheret pemilik akaun yang terlibat membuat provokasi, meninggalkan ugutan dan ftnah terhadapnya ke muka pengadilan
“Seperti yang dinyatakan oleh peguam, semestinya isu yang timbul memberi kesan terhadap kerjaya seni saya. Oleh itu, saya ingin meneruskan tuntutan pampasan terhadap pihak yang memulakan provokasi.
“Tindakan tersebut sekali gus membuatkan keadaan berada di luar kawalan dan memerlukan saya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang berkenaan,” kata Janna.
Menurut peguamnya, satu laporan polis sudah dibuat termasuk aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung perkara itu sedang siasatan lanjut.
“Janna akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap individu yang menularkan semula video mendakwa dia mempersenda kematian seorang bintang K-Pop pada 2017 lalu.
“Menerusi insiden ini, Janna menerima beberapa ugutan jenayah, ugutan bunuh, fitnah dan dakwaan palsu yang memerlukan tindakan serius diambil untuk keselamatan,” kata Ben Syazmin.
Pada masa sama, Janna selaku pengarah dan penerbit telefilem Delen turut memohon maaf kepada pihak yang terguris hati dan tersinggung dengan penggunaan jolokan ‘Lisa Blackpig’ terhadap seorang watak jahat dalam drama berkenaan.Gelaran Lisa Blackpig juga ditulis dalam kapsyen yang dimuat naik sebagai poster promosi naskhah tersebut.
Rata-rata peminat K-pop seluruh dunia mengaitkan gelaran tersebut dengan Lisa Manohan atau Lisa Blackpink.
“Saya sebagai pengarah dan produser telefilem Delen mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada semua yang terguris hati dengan kapsyen tersebut,” katanya. – K! ONLINE