fbpx

Geng curi motosikal Kumpulan Azhar tumpas dalam tempoh 18 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafa'aton menunjukkan diantara motosikal yang dicuri oleh penjenayah pada Majlis Sidang Akhbar Tangkapan dan Rampasan Barang Kes Kegiatan Jenayah di sekitar Sungai Buloh dan Lembah Klang, di sini, hari ini.

SUNGAI BULOH – Hanya dalam tempoh 18 hari, sindiket curi motosikal kumpulan Azhar yang aktif sejak setahun yang lalu di Lembah Klang akhirnya tumpas dengan tertangkapnya 17 suspek di sekitar daerah ini.

Suspek yang terdiri daripada 16 warga tempatan dan seorang warga asing berusia 16 hingga 41 tahun berjaya diberkas di 11 lokasi berlainan bermula 1 hingga 18 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, kegiatan kumpulan tersebut berjaya dihidu selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang kehilangan motosikal jenis EX5 di bawah bangunan blok E Laguna Biru 2 Kuang, Rawang pada 8 Januari lalu.

“Susulan kejadian itu, kita melancarkan Ops Lejang Khas dengan bantuan D4, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam tempoh 18 hari bermula 1 hingga 18 Februari.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 11 siri serbuan telah dilakukan di lokasi berasingan di daerah ini termasuk di Kuang dan Rawang,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini hari ini.

Jelasnya, menerusi serbuan bersiri itu, polis berjaya memberkas 17 suspek, salah seorangnya merupakan lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai pembeli motosikal curi.

“Sebanyak lima jenis motosikal yang terdiri daripada pelbagai jenama termasuk lima rangka dan bongkah enjin turut dirampas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM30,000,” ujarnya.

Menurutnya, semakan juga mendapati kumpulan tersebut bergerak aktif sejak setahun yang lalu dengan mensasarkan motosikal jenis Yamaha, Modenas dan Honda.

“Modus operandi kumpulan itu, motosikal yang dicuri akan dileraikan untuk diambil komponen bagi kegunaan sendiri dan rangka motosikal akan dipotong dan dibuang di dalam tasik dan sungai,” ujarnya. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI