LIVERPOOL – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti menafikan laporan bahawa pemain sensasi pasukannya, James Rodriguez tidak gembira dengan perjalanan kariernya di England dan berhasrat untuk berhijrah pada jendela perpindahan akan datang.
Sebagai rekod, Rodriguez berjaya memberikan impak positif buat The Toffees pada awal musim ini sebelum pemain antarabangsa Colombia itu bergelut mencapai prestasi sama sejak mengalami kecederaan.
Difahamkan, bekas pemain Real Madrid itu tidak selesa dengan keadaan cuaca dan budaya bola sepak England sekali gus berharap untuk kembali beraksi dalam kancah La Liga di Sepanyol musim depan.
Namun, Ancelotti menepis dakwaan tidak berasas itu kerana sudah mengadakan pertemuan dengan Rodriguez yang telah menyatakan bahawa dia sangat gembira mahu kekal untuk satu tempoh panjang di Goodison Park.
“Rodriguez gembira dengan perjalanan kariernya di England dan cukup bermotivasi untuk membantu pasukan mencapai sasaran musim ini. Mungkin masalah dialami sebelum ini hanyalah disebabkan aspek kecergasan.
“Bagaimanapun, dia sudah pulih sepenuhnya dan saya yakin dia akan mencapai prestasi terbaik. Jika masalah cuaca di England menjadi punca, semua pemain akan berhijrah kerana ia adalah perkara biasa dan anda perlu menyesuaikan diri dengan cepat,” katanya.
Sebagai rekod, Everton yang mencipta kemenangan sensasi 2-0 ke atas Liverpool minggu lalu, kini menduduki tangga ketujuh EPL dengan mengumpul 40 mata daripada 24 perlawanan setakat ini. – AGENSI