fbpx

Elak tersekat fantasi drama televisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Sakit hati dan kebencian membuak. Itu yang dapat digambarkan sepanjang menonton drama Takdir Yang Tertulis (TYT) baru-baru ini.

Masakan tidak, lakonan hebat para pelakonnya berjaya membuat emosi penonton terbuai sekali gus menjiwai setiap watak yang dipaparkan.

Tidak dinafikan, ketika karakter Juweeta lakonan Nad Zainal merentan apabila suaminya dirampas wanita lain, roh lakonannya itu seakan-akan meresap ke dalam jiwa penulis.

Bukan sahaja penulis, emosi tersebut turut dirasai oleh individu lain dan perkara itu dapat disaksikan dalam media sosial.

Rata-rata penonton meluahkan rasa geram mereka dalam status Facebook dan ciapan dalam Twitter.

Namun, apa yang kurang menyenangkan, terdapat segelintir warga maya yang melemparkan kata-kata cacian dan bahasa kesat terhadap para pelakon.

Pelacur dan perempuan jalang. Itu antara gelaran yang diberikan kepada para pelakon drama tersebut.

Lebih menggerunkan, ada netizen yang terbawa-bawa emosi amarah mereka sehingga mendoakan rumah tangga salah seorang pelakon wanita musnah sama seperti dalam drama.

Apabila berlaku perkara sedemikian rupa, penulis terta­nya-tanya adakah para penonton tidak dapat membezakan antara realiti dan fantasi.

Perkara tersebut turut diakui pengarah drama itu sendiri, Shahrulezad Mohameddin dalam satu catatan Facebooknya.

“Bertenang. Kenapa semua penonton terlalu beremosi?

“Dalam hidup segala kemungkinan boleh berlaku dan bukan semua jalan hidup manusia sama seperti orang lain, begitu juga dengan jalan cerita TYT,” katanya.

Tambah Shahrulezad, dia tidak menolak jalan cerita drama tersebut membuatkan ramai marah kerana sama seperti kehidupan mereka sendiri.

“Setiap watak dalam drama itu ialah cerminan diri kita sendiri. Mungkin mereka terlalu beremosi kerana jalan ceritanya sama dengan realiti kehidupan mereka.

“Tetapi tidak perlulah sampai hendak menggelar pelakon dengan gelaran sebegitu. Jadilah penonton yang bijak bezakan ­realiti dan fantasi,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nasrudin Subhi berkata, terdapat segelintir penonton yang sukar untuk membezakan antara realiti dan fantasi kerana terlalu terbawa-bawa emosi drama tersebut.

“Apabila sesebuah cerita itu berjaya menarik minat dan penghayatan penonton, tidak dinafikan mereka yang menontonnya turut terbuai emosi yang disampaikan dalam penceritaan. Sekiranya yang menonton itu mudah terpengaruh maka kesannya pasti lebih lama dan mendalam.

“Lebih ekstrem, mungkin sampai menyebabkan individu tadi tersekat dalam fantasi yang dibina lantaran terlalu obses dengan cerita atau watak sehingga memberi kesan ke dalam kehidupan seharian,” katanya.

Tambah Nasrudin, penonton juga perlu sedar bahawa setiap paparan di televisyen hanyalah daripada sebuah lakonan yang bersandarkan kisah benar.

“Natijahnya, sebagai penonton perlu bijak membezakan kan­dungan yang ditonton dengan realiti kehidupan yang dilalui.

“Apa yang penting sebagai penonton ialah perlu bijak untuk menimba mesej yang hendak disampaikan di sebalik sebuah penceritaan yang dipaparkan di dalam mana-mana siaran di te­levisyen,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI